|
Latar Belakang
Pendidikan merupakan teras pembangunan sesebuah negara dan tanpa ilmu pendidikan negara akan ketinggalan dalam semua aspek. Berdasarkan kepada konteks ini, kerajaan negeri Johor telah menubuhkan Kumpulan Pendidikan YPJ Sdn Bhd (KPYPJ) pada tahun 1996 untuk menerajui bidang pendidikan di negeri Johor.
Selaras dengan peranannya sebagai peneraju pendidikan, kerajaan negeri Johor telah menubuhkan beberapa buah kolej dan telah didaftarkan di bawah Akta Institut Pendidikan Tinggi Swasta 1996 ( Akta 555 ). Program-program akademik dan kemahiran berteraskan kejuruteraan, teknologi dan pembinaan secara usahasama dengan beberapa buah universiti tempatan telah ditawarkan bagi memberi peluang kedua kepada pelajar-pelajar yang gagal mendapat tempat di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Bagi memastikan program-program pendidikan yang ditawarkan dapat dijalankan dengan lebih tersusun dan berkualiti pada 28hb Disember 1996 kerajaan negeri telah menubuhkan dan mendaftarkan Institut Teknologi Perindustrian YPJ Sdn Bhd sebagai Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS)di mana ianya diletakkan di bawah pengawasan Kumpulan Pendidikan YPJ Sdn Bhd.
ITPYPJ yang terletak di Bukit Senyum, Johor Bahru lebih menjurus kepada bidang-bidang Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Binaan Bangunan dan Kemahiran di mana rakan usahasamanya adalah terdiri daripada Universiti Teknologi Malaysia dan Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan. Melalui pengiktirafan yang diberikan oleh pihak Lembaga Akreditasi Negara (sekarang dikenali sebagai MQA) terhadap kursus-kursus yang ditawarkan, badan-badan penaja seperti MARA, PTPTN dan YPJ telah bersetuju untuk menawarkan pinjaman pendidikan kepada para pelajar mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan. Segala urusan pinjaman akan diuruskan oleh pihak kolej melalui bahagian Hal Ehwal Pelajar dan pelajar-pelajar hanya perlu menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan sahaja. |


