|
Karnival Futsal (Tertutup) Piala Ketua Eksekutif ITPYPJ 2010 Pada 17 April 2010 (Sabtu) bertempat di Kick Central Futsal, Larkin, Johor Bahru, Majlis Perwakilan Pelajar Institut Teknologi Perindustrian YPJ (MPP ITPYPJ) dengan kerjasama Unit Hal Ehwal Pelajar ITPYPJ, Pengurusan ITPYPJ dan Badan Kebajikan Staf ITPYPJ telah mengadakan satu Karnival Futsal (Tertutup) Piala Ketua Eksekutif ITPYPJ 2010. Karnival yang julung-julung kali diadakan ini adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan ukhuwah di antara pelajar-pelajar kolej ini dengan pensyarah-pensyarah serta pegawai dan staf yang turut melibatkan diri dalam karnival futsal ini. Di samping itu juga, ianya dapat menjadikan sukan futsal sebagai suatu sukan popular yang bakal mewujudkan daya saing yang sihat demi menimba pengalaman dalam apa juga bidang yang bakal diceburi kelak oleh para graduan dan siswa siswi ITPYPJ. Di samping itu juga, Karnival ini menjadi platform bagi Ahli Jawatankuasa Majlis Pewakilan Pelajar ITPYPJ menimpa ilmu pengetahuan dan pengalaman bagi mengurus dan menganjur suatu acara atau pertandingan karnival yang besar dan melibatkan banyak pihak. Karnival ini disertai dengan 19 kumpulan pelajar terdiri daripada 12 kumpulan lelaki dan 7 kumpulan wanita. Turut serta pasukan Pegawai, Staf dan Pensyarah ITPYPJ yang telah menghantar 2 kumpulan terdiri daripada lelaki dan perempuan. Karnival ini berjalan dengan lancar dan yang paling membanggakan lagi adalah komitmen yang baik ditunjukkan oleh peserta-peserta dalam pertandingan ini sehingga berjaya mencapai objektif yang disasarkan penganjur. Karnival ini bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 2.00 petang. Karnival ini dirasmikan oleh Ketua Eksekutif ITPYPJ iaitu Puan Asnidar binti Ahmad dengan ucapan dan sepak mula bola gimik tanda perasmian Karnival Futsal (Tertutup) Piala Ketua Eksekutif ITPYPJ 2010. Turut hadir menyatakan sokongan ialah Dr. Sa'ari bin Md. Nooh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan YPJ yang hadir pada jam 10.30 pagi serta Pengurusan Tertinggi ITPYPJ. Pemenang bagi kategori lelaki ialah dari Pasukan Landak Kawan FC yang berjaya menewaskan pasukan Hijau Muda FC dengan 3-2 dan bagi kategori wanita ialah Pasukan Iron Ladies menentang Winz Club dengan kemenangan berpihak kepada Iron Ladies 1-0. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Rempat FC bagi kategori lelaki dan Asal Boleh Derr.. dari pasukan wanita. Majlis penutup juga disempurnakan oleh Ketua Eksekutif ITPYPJ. Majlis Perwakilan Pelajar bersukacita mengucapkan ribuan terima kasih kepada mereka semua yang bersama-sama berganding bahu menjayakan karnival ini dengan jayanya.Tahniah kepada para pemenang. MPP ITPYPJ juga ingin memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan sepanjang penganjuran kali ini. Semoga Karnival ini menjadi salah satu acara tahunan. InsyaAllah. Jumpa lagi pada 2011.
- Unit HEP, ITPYPJ, En Mohd Azri. |
